LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) sedia menjadi rakan kongsi Sarawak dalam merealisasikan visi negeri ini untuk menjadi hab industri semikonduktor dan reka bentuk cip.
Menerusi beberapa jalinan kerjasama dengan Sarawak, ia bukan sahaja memperkasa sektor semikonduktor kedua-dua belah pihak, tetapi pada masa sama turut mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua wilayah, jelas Menteri Teknologi dan Ekonomi Digital UK, Saqib Bhatti.
Katanya, perjanjian kerjasama yang diumumkan hari ini adalah demonstrasi yang sangat baik tentang bagaimana UK membina asas yang kukuh dengan semangat cita-cita, pragmatisme dan perkongsian secara bersama yang dilihat berjaya setakat ini.
“Saya melihat Sarawak sebagai rakan kongsi semula jadi pilihan untuk UK sambil kami berusaha untuk menggandakan kekuatan kami.
“Perjanjian yang telah kami tandatangani ini akan mengeratkan kerjasama antara kedua-dua negara sambil kita melihat untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk memacu pertumbuhan dalam industri domestik kita.
“Ini penting sekiranya kita mahu menerajui teknologi semikonduktor pada masa depan,” katanya pada Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor di Dewan Rakyat, Parlimen UK.
Sarawak menerusi Sarawak Microelectronics Design (SMD) memeterai satu lagi memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan syarikat dari UK, CSA Catapult.
MoU bertujuan memacu inovasi yang akan membentuk semula keupayaan serta aplikasi semikonduktor kompaun diperbuat daripada dua atau lebih elemen berbanding silikon yang diperbuat daripada satu elemen.